Friday, September 11, 2009

JURNAL 9 (16/8/2009-20/8/2009)
KEBERSIHAN DIRI MURID
MASALAH

Sepanjang minggu kesembilan di S.K Sultan Ahmad Tajuddin, saya juga telah berdepan dengan pelbagai gelagat murid-murid yang agak merisaukan. Antara masalah yang paling ketara adalah berkaitan dengan hal kebersihan diri; merangkumi kebersihan pakaian, dan diri sendiri. Kebanyakkan murid-murid memandang enteng tentang hal ini. Mereka tidak begitu mengambil berat tentang penjagaan diri. Ada di antara murid-murid yang memakai pakaian sekolah yang tidak berbasuh selama 5 hari (Ahad hingga Khamis), ada yang tidak mandi sebelum ke sekolah, tidak gosok gigi juga tidak menggosok pakaian ke sekolah.

Pada pandangan saya, ini tidak sepatutnya berlaku kepada diri seorang murid sekolah. Mereka sewajarnya berpakaian kemas. Namun, amat mendukacitakan apabila ada di kalangan mereka yang mempunyai masalah bau badan yang amat ketara hingga mengganggu pernafasan orang lain. Masalah kebersihan ini bukan sekadar berlaku kepada murid Tahap 1, malah juga berlaku kepada murid Tahap 2. Lebih menyedihkan apabila murid Tahun 6 yang sepatutnya menjadi contoh kepada murid-murid lain juga berkeadaan yang sama.

Sebagai seorang guru pemulihan yang sememangnya dikatakan pakar untuk memulihkan masalah , saya menyifatkan keadaan ini dalam fasa membimbangkan dan perlu diatasi segera. Murid-murid sepatutnya berada dalam keadaan bersih dan selesa. Maka, mereka mampu dan boleh belajar dengan tenang dan bersemangat. Bau yang tidak menyenangkan akan mengganggu guru-guru dan rakan-rakan lain. Oleh hal yang demikian, masalah ini mesti diambil tindakan dan perlu diselesaikan secepat mungkin.
ANALISIS MASALAH

Kebersihan diri adalah antara elemen terpenting yang perlu dititik beratkan oleh setiap individu khususnya murid-murid sekolah. Sekiranya murid-murid bersikap tidak kisah dengan hal ini, mereka sememangnya boleh dianggap melanggar peraturan sekolah kerana setiap sekolah meletakkan syarat murid berpakaian kemas ke sekolah. Ini membuktikan bahawa kebersihan sangat penting dalam diri murid-murid. Ahmad Sulaiman (2008) menyatakan:
”Kebersihan adalah salah satu tanda dari keadaan higiene yang baik. Manusia perlu menjaga kebersihan lingkungan dan kebersihan diri agar sehat, tidak bau, tidak malu, tidak menyebarkan kotoran, atau menularkan kuman penyakit bagi diri sendiri maupun orang lain. Kebersihan badan meliputi kebersihan diri sendiri, seperti mandi, menyikat gigi, mencuci tangan, dan memakai pakaian yang bersih”.

Kita juga tahu bahawa kebersihan itu dapat menghindarkan diri dari terkena jangkitan penyakit. Maka, berdasarkan analisa dan pendapat ini, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menjaga kebersihan khususnya diri sendiri. Setelah itu, barulah kita dapat menjaga kebersihan persekitaran. Dalam kata lain, semuanya bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu.

CADANGAN

Usaha membendung masalah ini patut dipertanggungjawabkan kepada semua individu. Guru-guru perlu memberi nasihat dan bimbingan kepada murid-murid tentang kepentingan menjaga kebersihan diri. Guru-guru boleh menganjurkan kempen-kempen seperti ”Personaliti Indah”, Diri Bersih dan Sihat” dan lain-lain. Melalui kempen-kempen ini, murid-murid secara tidak langsung akan menyedari kesilapan mereka dan akan mula berfikir untuk melakukan perubahan demi menjaga kesihatan mereka.

Selain dari itu, untuk menyedarkan murid-murid ini, saya akan memantau kebersihan murid di kelas yang saya masuk terutama murid-murid kelas pemulihan khas. Melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang bermodulkan aspek/ tajuk kebersihan, murid-murid akan memahami kepentingan menjaga kebersihan diri dan pengaruh kebersihan tersebut kepada diri sendiri, jua penerimaan masyarakat terhadap mereka.

Walaubagaimanapun, ibubapa di rumah adalah individu yang paling bertanggungjawab untuk menyedarkan anak-anak tentang hal ini. Ibubapa perlu memantau dan memberi perhatian kepada anak-anak mereka. Apapun juga, murid-murid sendiri yang harus berfiir secara rasional dan bertindak untuk kebaikkan mereka.

TEMPOH PENYELESAIAN
Daripada 16/8/2009 sehingga saya tamat praktikum di SKSAT

TINDAKAN SUSULAN
Murid-murid harus diberi nasihat yang berterusan. Guru-guru bertanggungjawab untuk memastikan masalah ini tidak berterusan. Kempen-kempen mesti dilakukan secara berterusan (seminggu sekali-diselitkan ketika perhimpunan pagi sekolah). Guru disiplin harus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kebersihan diri murid adalah elemen penting yang perlu diserapkan dalam diri setiap murid. Keadaan bersih akan membantu mereka meningkatkan potensi diri dan sememangnya mempengaruhi keselesaan mereka ketika belajar. Selain itu, kebersihan diri juga mempamerkan personaliti murid-murid, juga mencerminkan keperibadian guru-guru-guru dan nama sekolah. Semuanya akan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment