Friday, September 11, 2009

JURNAL 7 (2/8/2009-6/8/2009)
KOMUNIKASI BERKESAN


MASALAH

Sepanjang saya mengendalikan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) khususnya dalam matapelajaran Bahasa Melayu (minor), saya berpendapat bahawa kebanyakkan murid kurang memberi perhatian terhadap pelajaran. Ada di kalangan murid yang tidak mengendahkan arahan guru, membuat bising dan bertindak sesuka hati. Murid juga kerap kali mengganggu rakan-rakan lain dan berkelakuan agresif sekiranya ditegur oleh rakan-rakan contohnya seperti kelakuan memukul dan menconteng buku rakan. Masalah ini mungkin berpunca dari kelemahan guru sendiri dalam mewujudkan komunikasi berkesan dalam hubungan interpersonal. Sebagai guru, saya tidak menafikan bahawa guru seharusnya perlu untuk memilih corak kepimpinan yang bersesuaian. Disamping itu juga, guru perlu menggunakan teknik yang pelbagai dalam mewujudkan interaksi berkesan dengan murid-murid seterusnya mempengaruhi pembentukan minat murid terhadap pelajaran.

Mok Soon Sang (2003) dalam penulisannya menyatakan guru seharusnya tahu cara bagaimana mengaplikasikan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan. Kemahiran berkomunikasi secara lisan boleh dikenal pasti dari ciri-ciri pertuturan yang baik seperti berikut:
”Bertutur dengan penggunaan kepelbagaian nada. Suara yang bertenaga, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat, mudah difahami, penghentian sejenak yang efektif, serta nadanya penuh dengan perasaan yang menarik perhatian orang yang berkomunikasi.”

Penjelasan ini jelas menunjukkan bahawa guru mesti bercakap atau menyampaikan maklumat kepada murid dengan menggunakan pelbagai nada suara demi menarik minat murid terhadap pelajaran dan mengelak murid dari merasa bosan atau melakukan sesuatu di luar kawalan guru.

ANALISIS

Komunikasi berkesan seringkali terjejas ekoran dari gangguan-gangguan yang berlaku dalam bilik darjah seperti kebisingan, perhubungan guru dan murid, keadaan bilik darjah yang kurang kondusif, murid kurang berminat untuk belajar dan sebagainya. Kebisingan bilik darjah misalnya menyebabkan guru menghadapi kesukaran dalam menyampaikan pelajaran supaya jelas didengar oleh murid-muridnya. Antara faktor lain berlakunya komunikasi kurang berkesan adalah sikap murid-murid sendiri yang kurang berminat untuk belajar. Mok Soon Sang menyatakan :
”Kekurangan minat belajar pun boleh menjejaskan komunikasi dalam bilik darjah. Murid-murid yang mempunyai pemikiran tertutup tidak akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran”.

Antara murid yang bermasalah komunikasi adalah
1. Nurul Izzah (3F) - Sikap pemalu dan rasa tidak yakin.
2. Renisa Devi (3F) - Tidak fasih berbahasa melayu.
3. Mariyah (3B) - Suka mengasingkan diri dan rasa rendah diri.
4. Adi Aiman Afiq (3B) - Terlalu cepat mengadu kepada guru apabila diganggu atau diusik oleh rakan.

CADANGAN

Sebagai guru, saya bersedia untuk membuat perubahan untuk memastikan masalah yang dihadapi dapat diatasi. Saya akan cuba mengaplikasikan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang disarankan; di mana ianya merangkumi corak kepimpinan guru (demokratik), komunikasi dan interaksi (pengunaan nada suara yang pelbagai), serta kemahiran-kemahiran lain yang dirasakan bersesuaian untuk merarik perhatian murid-murid ketika belajar.

Saya akan memastikan set induksi dilaksanakan dengan baik serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam keadaan yang selesa. Saya akan berusaha melakukan aktiviti yang pelbagai bagi mengelak murid merasa bosan dengan P&P yang disediakan. Alat dan bahan bantu mengajar juga akan saya pelbagaikan demi menarik minat murid-murid saya terhadap pelajaran yang diajar. Di akhir sesi pembelajaran, saya akan memastikan murid-murid saya mendapat manfaat dari P&P yang dijalankan.

Saya amat berharap agar dapat meningkatkan minat belajar di kalangan murid-murid saya. Saya bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dari guru-guru yang lain. Mungkin dengan cara sedemikian, saya akan memperoleh idea atau strategi baru dalam mengendalikan P&P.

TEMPOH PENYELESAIAN
2/8/2009 hingga 13/8/2009 (2 minggu)

TINDAKAN SUSULAN

Saya percaya kaedah yang pelbagai dapat membantu saya dalam menyampaikan P&P dengan berkesan. Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Reed dan Kirkpatrick (1998), mereka menyatakan:
”Seorang guru perlu mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran bagi menarik minat murid untuk belajar”.
Selain itu, saya juga akan cuba menggunakan kaedah peneguhan positif dan peneguhan negatif dalam usaha mengawal murid-murid semasa aktiviti P&P berlangsung.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan saya amat percaya guru yang kreatif dan bersedia dengan pelbagai teknik pengajaran dapat mempengaruhi suasana P&P yang bakal berlaku di dalam kelas. Murid akan lebih bersemangat sekiranya guru tampil dengan pelbagai kaedah dan perubahan dari semasa ke semasa. Maka, sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk senantiasa membuat pembaharuan sekaligus menjadikan proses P&P berkesan.

No comments:

Post a Comment