Friday, September 11, 2009

JURNAL 10 (30/8/2009-3/9/2009)
BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM)
MASALAH
Sepanjang sepuluh minggu saya menjalani latihan praktikum di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin ini, saya menghadapi masalah dalam penggunaan bahan bantu mengajar. Terutamanya dalam subjek Bahasa Melayu untuk murid-murid kelas 3 Firus iaitu murid kelas pemulihan saya. Agak terhad bagi saya untuk menggunakan bahan bantu mengajar ketika proses P&P. Keadaan ini membuatkan, murid-murid mudah bosan dan kurang memberi tumpuan di dalam kelas. Secara tidak langsung proses P&P agak terganggu.

ANALISIS MASALAH
Pada permulaan sesi P&P, tidak dinafikan bahwa saya kurang menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) kepada murid pemulihan khas. Saya lebih banyak menerangkan kepada murid tentang topik pada hari tersebut. Pada pandangan saya, aktiviti penerangan tersebut, akan membuatkan murid pemulihan ini akan mudah faham. Pada hakikatnya, murid-murid ini akan mudah bosan dan hilang tumpuan. Saya juga kurang menggunakan ICT di dalam aktiviti P&P.

Seperti yang kita tahu kanak-kanak pemulihan ini tidak boleh memberikan tumpuan dalam masa yang lama. Mereka hanya dapat memberi tumpuan disekitar 20 minit awal interaksi sahaja. Mereka akan mudah bosan dan akan membuat bising di dalam kelas. Apabila keadaan ini terjadi secara tidak langsung akan mengganggu perjalanan proses P&P. mereka lebih suka sesuatu aktiviti yang seronok, seperti menyanyi, permainan, dan sebagainya.

Kelemahan ini, sedikit sebanyak mengganggu proses P&P saya dan hasil pembelajaran yang dirancang ada kalanya agak tidak tercapai sepenuhnya. Keadaan ini terjadi adalah berkemungkinan, kerana saya kurang kreatif dalam pembinaan dan penggunaan bahan bantu mengajar. Selain itu, saya juga tidak yakin dengan penggunaan bahan bantu mengajar seperti permainan kepada murid.

CADANGAN
Keadaan ini adalah tidak sepatutnya terjadi. Hal ini kerana, bahan bantu mengajar merupakan satu media pengajaran yang boleh membantu guru dan membolehkan murid lebih memahami ilmu yang diajar. Pemilihan bahan bantu mengajar yang betul dan sesuai adalah amat penting untuk menjadikan proses P&P lebih berjalan dengan lebih berkesan.

1. Pemilihan bahan.
Pemilihan bahan bantu mengajar haruslah selaras dengan objektif pembelajaran murid pada hari tersebut. Bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu murid lebih memahami pengajaran yang diajar pada hari tersebut. Bahan haruslah mengandungi unsur-unsur yang berkaitan dengan falsafah pendidikan.
Bahan bantu mengajar yang di pilih haruslah yang boleh membantu pelajar untuk memperkembangkan potensi mereka. Bahan-bahan yang digunakan mesti mempunyai unsur intelek (pengetahuan) dan juga mewujudkan nilai-nilai murni.
Saya juga akan menyenaraikan semua BBM saya dan mengemaskini jenisnya bagi disesuaikan untuk sesi pengajaran mengikut mata pelajaran. Contoh BBM terbaik saya adalah seperti “Sangkar warna” dan “Koboi zirafah”.

2. Lebih menggunakan ICT
Selaras dengan zaman yang serba berteknologi, teknik pengajaran juga mula berubah. Selain daripada bahan bantu mengajar yang sedia ada seperti buku teks dan buku latihan, latihan interaktif menggunakan komputer juga boleh digunakan. Dengan grafik yang menarik, dapat menarik minat murid untuk terus belajar. Murid pemulihan khas gemar untuk mencuba sesuatu yang baru, contohnya seperti penggunaan laptop guru yang saya gunakan setiap hari.
Selain daripada latihan-latihan, guru juga boleh menggunakan ICT ketika proses pengajaran seperti slideshow gambar-gambar dan juga huruf-huruf. Penggunaan ICT ini akan lebih membantu guru untuk mengajar dan mengawal tingkah laku kanak-kanak pendidikan khas ini supaya mereka boleh memberi tumpuan ketika proses P&P, dan juga membantu pelajar lebih memahami topik yang diajar.

TEMPOH PENYELESAIAN
Daripada 30/8/2009sehingga saya tamat praktikum di SKSAT

TINDAKAN SUSULAN
Sebagai tindakan susulan, saya akan sentiasa berbincang dengan guru pemulihan khas SKSAT tentang penggunaan bahan bantu mengajar. Perbincangan yang dibuat dapat menambahbaikkan penggunaan bahan bantu mengajar saya, agar ianya lebih sesuai dan berkesan. Secara tidak langsung hasil pembelajaran yang dirancang dapat dicapai dengan penuh warna warni dan menggembirakan semua pihak.

KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah BBM ini adalah masalah yang amat minimum dan ianya boleh diatasi dengan segera. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Pembelajaran yang efektif adalah kunci kejayaan pendidikan bagi generasi baru akan datang mempunyai daya kreativiti yang kukuh. Guru sebagai tulang belakang modal insan negara, perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam pelaksaan sesuatu usaha pemantapan startergi pengajaran dan pembelajarannya setiap hari.

No comments:

Post a Comment