Friday, September 11, 2009

JURNAL 8 (9/8/2009-13/8/2009)
MASALAH PENGUASAAN KEMAHIRAN ASAS 3M


MASALAH

Dalam era kemodenan dan negara yang pesat membangun ini, seharusnya setiap individu bersaing untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan, khususnya murid-murid sekolah. Sewajarnya tiada lagi budaya lepak, malas belajar dan masalah-masalah disiplin lain yang berlaku di sekolah. Murid-murid seharusnya tahu bahawa pada merekalah disandarkan harapan negara untuk menjadi contoh tauladan terbaik kepada generasi akan datang.

Namun begitu, adalah sedikit mendukacitakan saya bila hal ini dipandang enteng oleh segelintir murid-murid SKSAT iaitu murid tahun 3 kelas arus perdana. Sikap sambil lewa terhadap pelajaran menjadi perkara biasa bagi mereka. Walaupun kehadiran ke sekolah seratus peratus, namun prestasi akademik dan sahsiah mereka masih berada di tahap lemah dan membimbangkan. Apa yang lebih menyedihkan saya, ada di kalangan murid-murid terutama murid pemulihan ini yang masih tidak tahu membaca dan menulis. hal ini kerana, pada usia 10 tahun mereka sewajarnya telah mahir kemahiran-kemahiran asas ini.

Sebagai seorang guru pelatih pemulihan khas, saya melihat masalah ini adalah isu yang perlu ditangani segera. Murid-murid yang berdepan dengan masalah ini seharusnya ditempatkan di kelas khas juga, bagi proses pemulihan. Murid-murid harus diajar mengikut kebolehan mereka, supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas dalam masa yang ditetapkan. Melalui aktiviti/ program ini, diharapkan murid-murid tersebut mendapat peluang meneruskan pelajaran mereka seperti murid-murid lain. Guru pemulihan, guru kaunseling, dan semua guru-guru harus mengembling tenaga untuk memastikan murid-murid ini mendapat sesuatu yang berguna sepanjang persekolahan mereka.
ANALISIS MASALAH

Masalah tidak boleh menguasi kemahiran asas dalam pembelajaran (membaca, menulis dan mengira) adalah masalah yang sering berlaku dan ada di mana-mana jua sekolah terutama sekali di sekolah pedalaman. Maka, kelas pemulihan diwujudkan bagi membantu murid-murid yang berdepan dengan masalah ini. Menurut Mook Soon Sang (2003) dalam penulisannya menyatakan:
”Pendidikan pemulihan merupakan satu rancangan khas untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran asas itu...”

Beliau turut menjelaskan bahawa:
”Mengikut kajian pakar-pakar pendidik, kanak-kanak pada keseluruhannya mempunyai daya intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa dengan sepenuhnya. Mereka kurang mampu membuat kesimpulan dan kurang memahami tentang pelajaran yang abstrak. Oleh itu, ramai murid yang menghadapi masalah dalam aktiviti pembelajaran mereka. Bagi membantu murid-murid mengatasi masalah ini, program pemulihan merupakan satu-satunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.”
(Mook Soon Sang, 2003)

CADANGAN

Setelah menganalisa masalah di atas, saya berpendapat bahawa murid-murid ini harus segera diberi perhatian. Beberapa cadangan perlu diusulkan. Antaranya adalah tindakan pemulihan khas serta kolaborasi bersama guru-guru lain seperti guru bimbingan dan kaunseling dalam menganjurkan aktiviti-aktivi yang bersesuaian.

Kemudian, masalah murid boleh dirujuk kepada guru pemulihan khas tetap disekolah ini dengan mengharapkan masalah ini dapat diatasi dengan segera dan murid dapat mengikuti suasana pembelajaran yang kondusif. Bersama guru pemulihan, murid-murid yang berdepan dengan masalah 3M tidak ini akan dapat menjalani proses pengayaan dan pemulihan khas secara sistematik. Aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan adalah mengikut kebolehan dan prestasi murid. Maka, besar kemungkinan minat belajar akan wujud dari semasa ke semasa. Ini kerana murid akan merasa dihargai dan diberi perhatian oleh guru mereka.

Di samping itu, saya sebagai guru pemulihan khas harus memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawb mereka semaksimum mungkin. Melalui kelas-kelas pemulihan yang dijalankan, guru pemulihan dapat mengenal pasti masalah masalah 3M (membaca,menulis dan mengira) secara pemerhatian, pentafsiran rekod prestasi, profil, ujian kertas dan pensel, latihan harian serta soal jawab/kuiz. Guru pemulihan juga dapat menyenaraikan masalah pembelajaran yang dikenal pasti serta dapat mengesan punca masalah dengan menggunakan ujian diagnostik.

Sementara itu, guru-guru lain juga perlu bersama-sama mengembling tenaga dan menyuarakan pendapat dalam membendung masalah yang berlaku. Sekiranya semua pihak bersatu, Insyaallah masalah murid akan segera diatasi.

TEMPOH PENYELESAIAN
Sehingga semua murid yang bermasalah 3M dikenalpasti melalui ujian penilaian

TINDAKAN SUSULAN
Saya yakin sekiranya semua usaha-usaha yang dicadangkan di atas diaplikasi dan diambil perhatian oleh semua pihak, masalah ini dapat diatasi dengan segera. Murid-murid juga harus menyedari kelemahan diri mereka dan sanggup berusaha untuk mempertingkatkan prestasi diri.


KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah 3M ini adalah isu besar yang mesti diatasi segera. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang melibatkan murid (khususnya akademik) harus dipantau dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment