Friday, September 11, 2009

JURNAL 5 (19/7/2009-23/7/2009)
LATIHAN DAN KERJA RUMAH MURID

MASALAH

Segelintir murid-murid seringkali mengabaikan latihan dan kerja rumah yang diberikan guru kepadanya setiap hari. pelbagai sebab dan punca masalah ini sering barlaku dan terus menjadi masalah biasa bagi semua sekolah di negara kita. Seringkali juga, guru berasa pening apabila murid sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru. Murid kelihatan seperti terlalu letih semasa membuat latian yang diberikan oleh guru terutamanya bagi kumpulan yang lemah. Murid juga tidak menyiapkan kerja sekolah pada masa yang ditetapkan dan sering tidak membawa buku latihan untuk menampal lembaran kerja dan nota yang diberikan. Keadaan ini seumpama mematahkan semangat seorang guru dalam impiannya bagi membentuk murid yang cemerlang serta berkaliber.

ANALISIS MASALAH

Segelintir murid di kelas saya malas dan tidak berusaha untuk menyiapkan kerja dan latihan yang diberikan pada waktu-waktu tertentu. Ada pula yang menggunakan masa yang diberikan untuk membuat latihan untuk berbual dengan rakan atau bermain.
Antara murid yang bermasalah adalah:
1. Mohd Aeman Haikal.
2. Azizah
3. Renisa Devi.

Tindakan ini juga mengganggu rakan lain yang ingin membuat kerja sekolah. Apabila ditanya tentang masalah yang dihadapi untuk menyiapkan kerja yang diberi, murid-murid akan mendiamkan diri dan cuba mencari alasan, pelbagai alasan yang sama sering diberi untuk melarikan diri. Antara alasan yang diberikan seperti letih, sibuk, tidak larat, dan pelbagai alasan yang tidak logik.

Selain itu, terdapat murid-murid yang sering tidak membawa buku latihan untuk menampal lembaran kerja dan nota, walaupun telah diberi peringatan beberapa kali. Masalah ini jarang berlaku bagi kumpulan yang pandai dan ia selalunya berlaku bagi kumpulan lemah sahaja. Dalam hal yang sedemikian sebagai seorang guru tiada pilih kasih dalam memastikan murid-murid dapat menimba ilmu pengetahuan yang berguna.

CADANGAN

Sistem kawalan sosial mengkehendakkan tentang ganjaran dan dendaan. Penyelesaian masalah ini dilakukan dengan mengenalpasti murid -murid yang sering tidak membuat latihan dan kerja rumah. Saya akan menyenaraikan nama murid yang bermasalah ini dengan bergerak ke setiap kumpulan untuk mengenalpasti nama mereka. Teguran dan amaran lisan akan dikenakan dahulu. Sekiranya murid-murid masih leka, saya akan menyuruh mereka datang ke hadapan saya dan membuat latihan tersebut di hadapan saya. Ini membolehkan saya memerhatikan kerja mereka dan murid-murid itu akan membuat lembaran kerja supaya dapat balik ke tempat masing-masing.

Manakala untuk menaikkan semangat belajar murid – murid, saya akan memberikan peneguhan positif yang baik seperti bagus, pandai dan rajin apabila menyemak lembaran kerja mereka. Teori Bandura menekankan bahawa motivasi akan mendorong penglibatan murid dengan lebih berkesan dalam sistem pembelajaran. Kata-kata perangsang sedemikian juga akan memberi motivasi kepada murid-murid untuk terus berusaha dengan lebih gigih untuk menyiapkan kerja mereka kerana mereka akan berasa kerja mereka dihargai dan disanjungi.

TINDAKAN SUSULAN

1. Lembaran kerja yang diberi harus diteliti dan disemak selalu bagi mengenalpasti murid-murid yang sering tidak menghantar buku-buku mereka.
2. Lembaran kerja murid yang tidak sempat dijawab disediakan dengan mengantungnya di tepi kelas yang berdekatan dengan meja murid bagi memudahkan mereka mendapatkan lembaran kerja tersebut.
3. Pertandingan berbentuk kuiz berkumpulan akan diberikan kepada murid-murid yang dapat menjawab dengan betul akan diberi hadiah sebagai perangsang dan motivasi.

TEMPOH PENYELESAIAN
19/7/2009 hingga 2/8/2009 ( 2 minggu)

TINDAKAN SUSULAN
Saya yakin sekiranya semua usaha-usaha yang dicadangkan di atas diaplikasi dan diambil perhatian oleh semua pihak, masalah ini dapat diatasi dengan segera. Murid-murid juga harus diberi kesedaran oleh guru tentang kelemahan diri mereka. Guru perlu sabar dan sanggup berusaha keras untuk mempertingkatkan prestasi murid melalui pantauan berterusan terhadap latihan dan kerja rumah murid.

KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah latihan dan kerja rumah murid ini bukanlah menjadi isu besar yang menjadi masalah utama saya untuk menjalankan sesi P&P sapa. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang berlaku ada penyelesaiannya, terpulanglah kepada guru itu sendiri untuk mengatasinya.

No comments:

Post a Comment