Friday, September 11, 2009

JURNAL 2 (28/6/2009-2/7/2009)
SIKAP MURID

MASALAH

Sungguhpun sudah 2 minggu saya berada di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin (SKSAT), Jitra, iaitu salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan peringkat kebangsaan, masih terdapat pelbagai halangan yang timbul dalam usaha saya melaksanakan proses peyampaikan pengajaran yang sempurna di dalam kelas. Pengajaran dan pembelajaran yang sempurna melibatkan 2 pihak iaitu pihak pengajar atau guru dan juga pihak klien atau murid.

Dalam hal yang sedemikian, tanpa adanya perhubungan atau (rapport) diantara kedua-dua belah pihak, pengajaran yang sempurna tidak akan dapat direalisasikan, malahan juga ianya akan mengundang kepadam pelbagai masalah. Antara masalah yang timbul sepanjang minggu kedua ini adalah berkaitan dengan masalah sikap:

a) Penglibatan murid semasa p&p dijalankan di dalam kelas. Beberapa orang murid telah menampakkan kurang minat dan konsisten mereka terhadap pelajaran. Murid yang bermasalah ialah Mohd Ikhwan Syafiq.
b) Sikap sambil lewa di kalangan murid terhadap tugasan atau arahan guru. Murid yang bermasalah ini adalah Azizah dan Shaiful.

Keadaan seumpama ini jelas menyukarkan saya sebagai seorang guru praktikum untuk mencapai objektif utama saya, iaitu memulihkan mereka daripada masalah asas kemahiran 3M. Atas sebab itu, timbul beberapa permasalahan yang akan berlarutan atas jika masalah yang sedikit ini tidak dibendung dari awal lagi.
ANALISIS MASALAH

Adalah wajar bagi saya sebagai seorang guru praktikum bagi menganalisis masalah ini sebelum mengambil langkah efektif untuk membendung masalah ini daripada terus menerus berlarutan dan menjadi barah yang akan sukar dirawat.
Sikap-sikap murid adalah perkara yang memang sudah dijangkakan seperti apa yang telah saya belajar didalam kelas semasa di IPGM lagi. Masalah yang timbul berkaitan murid pemulihan adalah kebiasaannya melibatkan hal ‘self esteem’ yang rendah dan kurang mendapat pemerhatian sama ada dari pihak guru, rakan sebaya bahkan keluarga sendiri.

Teori Bandura menyatakan, bahawa murid yang bermasalah sebenarnya inginkan perhatian yang lebih daripada orang yang berhubung disekiling mereka seperti rakan sebaya serta guru. Seandainya mereka gagal mendapatkan keinginan tersebut, maka pelbagai kesan sosial timbul serta menjadi gangguan dalam pengajaran serta pembelajaran di dalam kelas. . Terdapat sekurang-kurangnya 60 peratus daripada bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas tersebut yang menghadapi permasalahan ini. Kebanyakkan diantara mereka tidak menjadi gangguan kepada rakan yang lain, sebaliknya mereka berhasulinasi dalam dunia mereka masing-masing.

Murid yang mempunyai masalah sikap ini, perlu satu langklah penyelesaian yang konkrit iaitu dengan melakukan perubahan tingkahlaku terhadap baseline atau garis sasaran yang ingin dicapai terhadap peru bahan tersebut. Antara langkah yang boleh di lakukan oleh guru adalah seperti didalam buku behavioral modification yang telah saya belajar semasa di IPGM sebelum praktikum lagi.




CADANGAN

Beberapa cadangan telah saya usahakan bagi melakukan perubahan sikap murid dalam mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang sempurna dan berkesan.

Antara cadangan tersebut adalah:

a) Mewujudkan kumpulan murid yang kecil bilangannya. Kumpulan ini lebih dibezakan mengikut tahap pencapaian akademiknya. Saya akan mengasingkan mereka mengikuti ujian diagnostik kemahiran yang lepas.

b) Sikap seorang guru amat penting dan berperanan tinggi dalam membawa tarikan serta perhatian kepada semua murid di dalam kelas tersebut. Seandainya murid ‘sambil lewa’ diabaikan, maka hancurlah masa depan mereka. Maka, saya telah memperkenalkan sistem ekonomi token. Sistem ini mengkehendaki dua tindakan iaitu dendaan dan ganjaran.

Sebagai contoh: Saya telah menjanjikan kepada murid tersebut dengan memberi token kepada mereka yang rajin, membantu rakan, menyiapkan kerja sekolah, mengikut kata guru, aktif dan membawa alatulis sendiri. Dalam hal yang lain pula mereka yang melakukan perkara-perkara tersebut tidak akan diberikan token dan token mereka akan ditarik semula. Murid akan bersaing dalam mendapatkan token yang ingin dikumpulkan untuk ditukarkan kepada hadiah-hadiah.


TEMPOH PENYELESAIAN
2/7/2009 hingga 9/7/2009 ( 1 minggu)


TINDAKAN SUSULAN
Saya akan memantau semua permasalahan yang timbul diatas dengan mengemasmkini segala tindakan dan langkah-langkah penambahbaikan saya seperti yang dicadangkan tadi. Hal ini bagi membolehkan tempoh sasaran bagi menyelesaikan masalah ini dapat dicapai dan tidak berlarutan berpanjangan. Saya akan menyiapkan carta ekonomi token dengan sebaiknya sesegera mungkin untuk dijalankan.

KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah 3M ini adalah isu besar yang mesti diatasi segera. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang melibatkan murid (khususnya akademik) harus dipantau dari semasa ke semasa.

Penulisan jurnal praktikum

JURNAL 1 (21/6/2009-25/6/2009)
MASALAH AWAL : MURID DAN SEKOLAH

MASALAH

Pada praktikal KPLI-SR ini saya telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu pemulihan untuk kelas, 3 Firus di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin (SKSAT). Manakala bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (kelas arus perdana) pula, saya dipertanggungjawabkan untuk mengajar di Kelas 3 Berlian. Pertama kali mengajar murid di kelas sebenar menimbulkan perasaan yang pelbagai yang sukar untuk dinyatakan. Sebenarnya, saya tiada pengalaman mengajar murid dalam bidang ini, namun saya yakin setiap pengalaman itu akan ditimba dan dipraktikkan dari masa ke semasa. Saya risau memikirkan bahawa sekolah ini terletak tengah bandar dan merupakan salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan kebangsaan . Pelbagai masalah dihadapi terutamanya bagi merapatkan jurang perbezaan murid pemulihan dengan murid kelas arus perdana. Selain itu, kemudahan di kelas pemullihan di sekolah ini juga agak terhad seperti kekurangan bahan bantu mengajar (BBM) dan keadaan bilik pemulihan yang serba kekurangan. Prestasi akademik di sekolah ini juga agak kurang memuaskan sejak kebelakangan ini. Hal ini terutamanya melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Oleh yang demikian, saya memikul cabaran yang sukar dan mencabar sekali sebagai guru pelatih disini. Masalah-masalah tersebut seharusnya tidak dijadikan alasan bagi saya untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang terbaik.

Pada minggu pertama di SKSAT ini, saya berkesempatan mengenali kerenah dan perangai murid khasnya dalam kelas yang bakal saya ajar bagi tempoh 3 bulan ini. Sesungguhnya 3 bulan ini adalah satu tempoh yang amat singkat untuk membuat perubahan mendadak terhadap prestasi murid. Hal ini sebaliknya adalah tempoh terbaik bagi saya untuk mempelajari serta menguasai sistem pengajaran yang konsisten mampan. Semua ini bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai dan efektif yang akhirnya akan memberi kesan langsung kepada murid. Dalam hal yang lainnya, masalah yang berpunca dari kalangan murid terhadap kelas juga telah difikirkan dan dapat dilihat. Antara masalah yang bakal ditimbulkan oleh murid termasuklah membuat bising dan berjalan-jalan dalam kelas sambil mengganggu rakan-rakan yang lain ketika sesi pengajaran. Ada kalanya disebabkan kenakalan itu, mereka seolah-olah tidak menghiraukan guru yang sedang mengajar di hadapan kelas. Sifat kenakalan yang sebegini tidak boleh di benarkan kerana menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Sifat kenakalan mereka akan menjadi lebih ketara semasa melakukan aktiviti di dalam kelas sebagai contoh semasa melakukan aktiviti berkumpulan.

Menurut Harry K.Wong ( 1998) kebanyakan masalah tingkah laku disebabkan oleh guru sendiri.
“Most behavior problems in the classroom are caused by the teacher’s failure to teach students how to follow procedure”.

Sebagai seorang guru, saya ingin mewujudkan satu persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam kelas-kelas saya. Saya ingin murid-murid memberi tumpuan yang sebaik mungkin setiap kali kelas dijalankan dan mendapatkan sebanyak mungkin input yang disampaikan.

ANALISIS MASALAH

Sebelum mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah di atas, saya telah melakukan analisis bagi mencari punca-punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku. Setiap kali saya memerhatikan guru yang sedang mengajar didalam kelas, terdapat beberapa orang murid suka membuat bising dan tidak fokus kepada pengajaran. Beberapa andaian awal yang satu termasuklah:

1. Kemungkinan murid-murid yang membuat bising tersebut tidak memahami apa yang disampaikan dalam kelas.
2. Kebiasaannya, murid-murid yang biasa menimbulkan masalah dalam kelas tersebut terdiri dari kumpulan yang lemah dan tidak berminat dengan pelajaran.
3. Adakah pengajaran guru membosankan dan tidak memenuhi stratergi pengajaran dan pembelajaran selaras dengan ilmu pedagogi guru?

Setelah menganalisis dan membuat refleksi kepada andaian awal, saya mendapati murid-murid yang pandai juga biasanya akan membuat bising dalam kelas. Hal ini berlaku biasanya, setelah mereka terlalu cepat menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru dalam sesuatu aktiviti berbanding dengan kawan-kawan mereka dari golongan murid yang lemah. Setelah tugasan disiapkan, mereka akan membuat bising dan berjalan-jalan di dalam kelas.

Selain itu, jika dilihat dari perspektif yang lain penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek matematik turut menyukarkan murid untuk memahami perkara yang diajar. Hal ini juga telah turut menimbulkan kecenderungan mereka untuk membuat bising.

CADANGAN

Penyelesaian kepada murid-murid yang bermasalah ini adalah, dengan saya sendiri mengambil beberapa langkah yang boleh bagi mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh murid seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuklah dengan cara mengingati nama setiap murid. Ini akan memudahkan guru untuk berinteraksi dengan setiap murid terutamanya yang bermasalah. Dengan cara ini murid akan lebih takut untuk menimbulkan masalah.

Selain itu, penyusunan semula kedudukan muri-murid dalam kelas juga boleh dilakukan dengan cara meletakkan murid yang bermasalah di hadapan guru bagi memudahkan pemantauan dilakukan. Dengan cara ini murid akan memberi lebih tumpuan kepada setiap pengajaran guru.

Cadangan-cadangan lain yang mungkin berkesan termasuklah:
1. Guru merancang P&P yang melibatkan aktiviti yang bersesuaian dan dapat menarik minat murid, dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu kreatif.
2. Memotivasikan murid dengan memberi peneguhan positif (seperti satu jawapan yang baik, bagus kerana berani mencuba). Ini memberi kepuasan kepada murid kerana sumbangan mereka dihargai oleh guru dan kawan-kawan.
3. Semasa melakukan aktiviti kumpulan atau berpasangan guru mestilah membuat pemantauan. Guru haruslah pantau dan bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain. Semasa pemantauan dilakukan guru bolehlah memberi semangat jika aktiviti sukar atau cuba mencadangkan strategi yang lebih mudah.

TEMPOH PENYELESAIAN
21/6/2009 hingga 9/7/2009 ( 2 minggu)

TINDAKAN SUSULAN
Saya akan memantau semua permasalahan yang timbul diatas dengan mengemasmkini segala tindakan dan langkah-langkah penambahbaikan saya seperti yang dicadangkan tadi. Hal ini bagi membolehkan tempoh sasaran bagi menyelesaikan masalah ini dapat dicapai dan tidak berlarutan berpanjangan.



KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masalah murid dan sekolah ini bukanlah menjadi isu besar yang menjadi masalah utama saya untuk melaksanakan praktikum saya hingga tamat. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang berlaku ada penyelesaiannya, terpulanglah kepada guru itu sendiri untuk mengatasinya.

Wednesday, March 25, 2009

Tuesday, March 24, 2009

world